'Mama Redha Kamu Pergi Sayang...'
Perjalanan menuju ke alam barzakh pada 16/06/16. Anak syurga ini bukan saya yang kandungkan, saya cuma jaga dan bimbing ibunya agar bertaubat. Taubat nasuha. Taat kepada Allah dan Rasul, taat kepada ibu bapa. Nanti diakhirat sana, Maryam berdiri di pintu syurga, melihat lihat di mana ibu. "Ibu di mana? Ibu di mana?
" Ada syafaat anak kecil yang meninggal dunia menarik ibunya ke syurga. Itu jika ibunya bertaubat. Ibunya kembali taat kepada Allah dan RasulNya. Ibunya yang sentiasa melaksana segala perintah Allah, ibunya yang meninggal kehidupan mungkar dan maksiat. Tetapi sekiranya ibu itu tidak bertaubat, masih hidup dalam gelumang dosa, dosa tidak taat pada ibu bapa, masih meninggalkan solat, masih meninggalkan puasa Ramadhan, menangislah anak itu berterusan memanggil, "Ibu di mana? Ibu di mana?" Ibu tidak dapat menghampiri syurga kerana terhalang oleh segala perbuatan mungkar yang dilakukan berterusan. SAYANGKAN?
Sudah ada saham diakhirat tetapi kerana kedegilan kita untuk taat kepada perintah Allah, kita biarkan saja saham itu. "Saya ini cuma menjaga satu malam, dari hospital bawa pulang ke rumah. Tidur bersama cuma satu malam, beri susu cuma 10 kali, cuci popo dan mendakap ketika Maryam kesakitan hingga diberikan bantuan oksigen di hospital. Sudah sangat terasa pemergiannya, terasa kehilangan, terasa sayu,pilu." Saya orang terakhir yang memandikan Maryam, saya oles-oles tubuh Maryam dengan hiba, 'sudah pergi kamu menghadap Tuhan Yang esa, syurga tempat mu sayang', saya wudhukkan Maryam, pakaian baju pada tubuh Maryam yang kecil halus.
Saya balut anggota tubah Maryam dengan kapas, pakaikan baju putih. "Sedangkan kamu kandung dia selama 39 minggu 5 hari, ke hulu ke hilir kamu bawa dia, duduk betul betul sebelah hati kamu, apakah kamu tidak sayang dengan anugerah Allah ini? Kamu tidak mahu bersama bidadari syurga kamu ni?
"Bertaubatlah, dengarlah nasihat ibu ayah kamu, taatlah perintah Allah," hanya kata kata nasihat yang mampu saya berikan kepada ibunya. Saya berharap ibu Maryam benar benar bertaubat nasuha supaya Maryam dapat bersama sama ibu kandungnya di syurga nanti. Ibu Maryam sampai ketika saya selesai memandikan Maryam. Sebelum saya menutup muka Maryam, saya panggil ibunya, "kamu tak nak cium Maryam buat kali terakhir?"
Pipi Maryam yang lembut dan dingin. Sebelum saya menutup wajah Maryam dengan kapas dan kain putih, saya cium dahulu Maryam dengan air mata yang membasah, saya oles pipinya lembut dan akhirnya saya melakar nama Allah di dahi Maryam dengan jari saya. Cepat-cepat saya tutup dengan kapas dan bungkus dengan kain putih. Airmata saya terus mengalir sambil tangan saya mengikat kaki, tengah dan kepala. Cukup sayu dan hiba hati saya.
Kehadiran Maryam yang masih bernyawa sebelumnya walau satu malam di rumah membawa hikmah yang masih rahsia. Saya menunggu hikmah yang Allah akan perlihatkan kenapa Maryam dihantar pulang ke Baitus Solehah, biar pun satu malam sahaja. Kemudian jenazah Maryam dibawa ke ruang musallo untuk disolatkan sebelum solat asar didirikan. Zauj sebagai imam, semua pelatih turut mengerjakan solat jenazah. Saya pun bersama-sama mendirikan solat jenazah. Fardhu kifayah kita sebagai manusia telah dilaksanakan terhadap Maryam. Selesai solat asar, jenazah dibawa ke perkuburan.
Di sini saya beri peluang ibu kandung Maryam mendakap Maryam ke tanah perkuburan. Ibunya cuma dapat mendakap dan memeluk jenazah Maryam. Setelah Maryam pergi menghadap ilahi, bukan ketika Maryam masih hidup. Samada kekesalan terpaut di hati atau redha dengan pemergiannya atau berasa lega kerana suatu beban telah diangkat jauh, hanya Allah yang tahu.
Berakhir sudah kisah anak syurga yang menjadi wildan. Berlari-lari wildan dalam taman yang indah. Bergelak ketawa dengan wajah berseri-seri. Hurul Ain...
#PatauSyndrome : Bidadari Kecil #Trisomy13
Pengalaman bidang perubatan ternyata benar, bayi Patau Syndrome umurnya tidak panjang, 21 hari sahaja umur Maryam. Lahir 27/05/2016, meninggalnya pada 16/06/16. - Baitus Solehah |
0 Response to "'Mama Redha Kamu Pergi Sayang...'"
Post a Comment