krim

Pencuri Lagak tuan punya kereta, guna pendua elektronik



Kajang: Sekumpulan penjenayah dikesan menggunakan gajet elektronik yang mampu membuka pintu kenderaan tanpa mengaktifkan sistem penggera keselamatan. Terbaru seorang doktor lelaki kerugian lebih RM5,000 selepas beg miliknya yang diletakkan di dalam but kereta dilarikan penjenayah ketika berada di Dataran C180, Cheras Selatan, di sini, kelmarin.

 Difahamkan doktor berusia 28 tahun itu meletakkan beg mengandungi wang, dokumen serta dua telefon pintar Iphone 4s dan Iphone 5 untuk keluar makan malam di restoran berhampiran pada jam 6.15 petang. Sumber berkata, mangsa bagaimanapun terkejut apabila mendapati beg miliknya lesap sebaik selesai makan.


“Berdasarkan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran restoran itu mendapati seorang lelaki menggunakan gajet menyerupai alat kawalan jauh untuk membuka dan mengunci kereta mangsa dengan mudah.

“Dengan lagak seolah-olah pemilik sebenar kereta itu, suspek menghampiri kenderaan yang disasarkan lalu menekan alat kawalan jauh sebelum membuka pintu pemandu dan menggeledah but kereta,” katanya. Katanya, taktik licik penjenayah sukar dikesan berikutan suspek akan mengunci semula kenderaan mangsa tanpa meninggal sebarang kesan.

 Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kajang bagi membolehkan siasatan dijalankan. Sumber turut memaklumkan, beberapa lagi mangsa mengadu mengalami kejadian sama malah suspek dikesan masih berkeliaran melakukan jenayah itu di sekitar Kajang dan Serdang.

0 Response to "Pencuri Lagak tuan punya kereta, guna pendua elektronik"

Post a Comment