'Kalau Air Panas Jatuh Di Muka, Awak Sayang Saya Lagi?' tanya isteri
Baru-baru ini, Allah izinkan air panas tertumpah atas paha isteri saya yang sangat saya cintai. Apabila sudah mendapat rawatan yang sepatutnya, keadaan bertambah baik. Cuma buat masa ini, kulitnya yang melecur itu kehitaman dan mula mengelupas. Mungkin nak ganti kulit yang baru. "Kalau air panas itu jatuh di muka saya, macam mana? Awak sayang saya lagi tak kalau kulit muka saya jadi begini?" soal isteri sambil menunjukkan bekas tempat melecur itu.
"Ada manusia yang boleh hidup dengan orang yang tak lawa. Apatah lagi saya, untuk hidup dengan awak, inshaAllah kekal sayang," jawab saya. Perbuatan itu menjadikan saya terkenang akan mengapa saya memilih isteri saya untuk menjadi peneman hidup.
Ya, masa jatuh hati itu, tak terfikir kenapa jatuh hati kepadanya. Ketika itu, automatik hati digerakkan. Tetapi kemudian saya mencari sebabnya kerana saya jelas ketika itu, tidak mahu didorong perasaan semata-mata. Apa yang menjadikan saya benar-benar nekad untuk mengahwininya ialah, selepas saya merisik latar belakang dan peribadinya, dia mampu mengimbangi saya. Saya nampak dia mampu melengkapkan diri saya. Saya kenal diri saya, saya tahu sikpa saya, saya faham kekurangan diri saya.
Yang saya perlukan ialah orang yang tidak melihat saya ini sempurna dan bila melihat kekurangan saya, dia akan berusaha mengimbanginya berbanding hanya pandai kecewa. Cantik itu bonus sahaja dan sebenarnya cantik itu subjektif. Pasti sahaja saya akan kata isteri saya lawa berbanding yang lain walau bagaimanapun keadaan rupanya kerana dia isteri saya. Manakala semua suami yang lain pula perlu merasakan isteri masing-masing ialah yang paling lawa. Buka kata perempuan lain atau isteri orang lain lawa.
Perbualan ini juga membuatkan saya teringat, kadang-kadang air mata saya mengalir sebelum tidur. Mengapa? Kerana saya ada satu tabiat. Kadang-kadang saya cuba membayangkan situasi bila orang yang saya sayangi ditarik pergi oleh Allah SWT. Jadi, kadang-kadang saya bayangkan ummi saya meninggal dunia, abah meninggal dunia, isteri meninggal dunia, anak meninggal dunia.
Membayangkan bagaimana saya menguruskan jenazah mereka dan mengebumikan mereka. Membayangkan bagaimana kehidupan saya selepas mereka tiada. Bayangan-bayangan itu kadang-kadang sangat tajam rasanya kerana tidak dapat tidak saya perlu mengakui akan kemungkinan realiti sedemikain boleh sahaja berlaku dalam kehidupan saya, sehingga saya akhirnya terasa benar-benar tidak berkuasa. Hanya mampu menangis sambil menginsafi dan memulangkan diri kita kepada Empunya nyawa.
"Ya Allah, maafkanlah aku lebih awal berbanding orang-orang yang aku sayangi," Jadi, di dalam hati saya sambil menjawab isteri saya tadi, saya berkata, "Lebih baik melecur wajah (na'udzubillah), mungkin tinggal parut sedikit berbanding mati dan meninggalkan saya. Diri ini nyata belum cukup bersedia untuk berpisah," Kadang kala cinta itu kompleks.
Sukar sebenarnya kita nak menterjemahkan sayang hanya dengan beberapa patah perkataan ringkas. Kadang-kadang, tindakan juga tidak mencukupi untuk mentafsirkan rasa cinta dan sayang kita kepada seseorang. Ada masanya saya peluk isteri lebih erat, ada masanya sengaja saya kucup tangan dan pipi ummi dan abah lebih lama, ada masanya saya dukung anak dan usap rambutnya dengan lebih perhatian bersama doa dengan harapan dapatlah merasa cinta dan sayang saya ini dirasai juga oleh mereka.
Moga-moga tatkala kami dipisahkan di dunia ini, kami dipisahkan dengan rasa saling cinta mencintai. Saya tiada harapan yang lebih besar dari saya mendapat rahmat Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurga, kecuali, saya berharap dikumpulkan di sana bersama semua keluarga saya. Semoga Allah SWT meredhai kita semua. Dunia hanya pinjaman. Kadang-kadang kita tak rasa tetapi jika benar-benar kita menghayati, akan nampaklah kekerdilan diri. Lantas kepada Allah jua kita sujud memohon belas kasihan dan dirahmati. Muhasaba.. - Hilal Asyraf |
0 Response to "'Kalau Air Panas Jatuh Di Muka, Awak Sayang Saya Lagi?' tanya isteri"
Post a Comment