krim

Jeritan Hanna Humaira jadi igauan


KUALA KUBU BHARU 23 Jun - Jeritan cahaya mata tunggalnya, Hanna Humaira Mohd Hasnun, 1, sebelum maut dalam kemalangan membabitkan 16 kenderaan di Kilometer 406, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan berhampiran Tanjung Malim, Perak hari ini pastinya menjadi igauan Mohd. Hasnun Ramli buat selama-lamanya. Apatah lagi nahas yang berlaku kira-kira pukul 9.15 pagi itu turut mengorbankan isterinya, Nurul Syazeila Iryani Suhaimi, 28.

 Menceritakan kejadian, Mohd. Hasnun, 29, dalam nada sebak memberitahu, dia bersama keluarga dalam perjalanan ke Bangsar, Kuala Lumpur untuk menziarahi jenazah bapa saudara isterinya yang baru meninggal dunia sebelum kemalangan.

 Ujarnya, setiba di lokasi kejadian, dia yang memandu kereta jenis Suzuki Swift dan berada di laluan kanan memperlahankan kereta kerana melihat beberapa kenderaan di hadapan bergerak perlahan ekoran terdapat lori terbalik. “Tiba-tiba saya melihat treler yang berada dari arah belakang meluru laju kemudian merempuh dan menyebabkan kereta saya berpusing ke laluan tengah sebelum dirempuh sebuah lagi treler dari arah kiri.

“Rempuhan itu menyebabkan saya tersepit pada stereng dan dihempap cermin hadapan manakala isteri tersepit di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu di sini hari ini. Mohd. Hasnun yang pasrah dengan kejadian tersebut berkata, dia sedar semasa rempuhan berlaku hanya sempat mendengar jeritan anak dan memeriksa nadi isteri sebelum dikeluarkan pasukan bomba dan dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim untuk mendapatkan rawatan.


Jelasnya, jenazah isteri dan anaknya akan dikebumikan di Permatang Tok Jaya, Sungai Dua, Pulau Pinang. Dua mangsa yang cedera ringan dalam kemalangan itu iaitu Datuk Hamzah Ahmad serta isterinya, Datin Zaharah Ali dihantar ke sebuah hospital untuk rawatan lanjut. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden R. Supramaniam berkata, kemalangan berpunca daripada treler yang terbabas dari lorong kanan ke lorong tengah dan merempuh lima buah kenderaan termasuk kereta yang dinaiki Mohd. Hasnun. Menurutnya, lebih memburukkan keadaan apabila sebuah lagi treler dari laluan tengah tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa.

 “Akibat rempuhan tersebut mangsa tersepit antara kedua-dua treler. Kejadian itu menyebabkan kenderaan lain tidak sempat mengelak hingga berlaku pelanggaran seterusnya,” katanya. Tambah Supramaniam, pemandu treler ditahan untuk siasatan lanjut serta ujian air kencing dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

1 Response to "Jeritan Hanna Humaira jadi igauan"

  1. Casino Site Review + Rating - Lucky Club
    Casino Site Review + Rating. Play for real with the exclusive offers & the luckyclub.live best bonuses at Lucky Club Casino. Register now & get up to €150 FREE + 100 spins!

    ReplyDelete