ALOR SETAR – Beberapa penggali kubur terkejut apabila menemui keranda dan jenazah masih sempurna walaupun sudah dikebumikan hampir 15 tahun lalu ketika kerja menggali kubur dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan, Derga di sini, pada Selasa. Penggali kubur, Mansor Ahmad, 57, berkata, mereka mendapat arahan dari pihak pengurusan untuk menggali kubur bagi mengebumikan jenazah baru yang meninggal dunia kerana sakit jantung, bersebelahan kubur berkenaan. “Selepas menggali tanah sedalam satu meter, tiba-tiba tanah bersebelahan runtuh dan kami dapati sebuah keranda yang masih sempurna di dalamnya.
Kami terkejut kerana keranda itu sudah dikebumikan 15 tahun lalu. “Bagaimanapun keranda itu masih sempurna seperti baharu sahaja dikebumikan. Tambah pelik, keranda itu berada dalam ruang yang kosong dan tanah tidak pula menutupinya,” kata Mansor kepada Sinar Harian. Kain kafan masih putih Mansor berkata, bagi memastikan keadaan jasad terbabit, dia membuka keranda dan melihat jenazah masih lagi sempurna dan tilam yang ada di dalam bagi melapik jenazah masih lagi kelihatan seperti baru. “Oleh kerana kerja menggali kubur terpaksa dilakukan, saya memegang jenazah dan menolak keranda itu masuk ke dalam dan merasai jasad terbabit seperti baru dikebumikan,” katanya. Kain kafan jenazah juga masih lagi putih dan tidak berbau. “Pengalaman itu merupakan kali kedua saya alami sejak menjadi penggali kubur hampir 40 tahun di tanah perkuburan ini. “Sebelum ini, pada 1980-an, saya serta beberapa rakan pernah terdengar ketukan sesuatu dari dalam kubur hingga menyebabkan imam terpaksa dipanggil bagi menyelesaikannya,” katanya. Menurutnya, jenazah masih sempurna ditemui itu ialah seorang guru, Mohd Najib Abdullah yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Mersing, Johor dan jenazah dibawa pulang dari Mersing dan dikebumikan di situ. Syukur kebesaran ALLAH SWT
Sementara itu, bapa Allahyarham, Abdullah Omar, 75, dari Kampung Alor Melong di sini, berkata, semasa keluarganya mendapat tahu tentang keadaan jenazah anaknya itu, dia sungguh terharu dan bersyukur dengan kebesaran ALLAH SWT. Katanya, semasa kerja menggali kubur dilakukan, seorang daripada anaknya turut berada di situ dan terkejut apabila melihat jenazah abang sulung mereka masih sempurna. “Pada masa itu, semua yang ada tergamam melihat kubur yang sekian lama itu masih lagi sempurna apatah lagi keranda itu seperti berada di dalam gua. “Anak saya bersyukur kerana inilah pengalaman pertamanya melihat jenazah lama yang masih lagi sempurna apatah lagi darah daging sendiri,” katanya. Abdullah berkata, semasa arwah dikafankan serta dibawa pulang dengan kenderaan jenazah dahulu, pemandu kenderaan terbabit memaklumkan kepadanya bahawa sepanjang perjalanan dari Mersing, dia sentiasa terhidu bau wangi di dalam kenderaan sehinggalah tiba di kampungnya.
“Bagaimanapun pada masa itu pakcik hanya mendengar sahaja dan berdiam. “Tetapi dengan peristiwa ini, sekali lagi ALLAH SWT menunjukkan kebesaran terutama kepada kita yang masih hidup ini,”
katanya. Al-Quran jadi teman rapat Menurutnya semasa meninggal dunia, anaknya itu berusia 29 tahun dan dia seorang yang pendiam serta tidak banyak bercakap tetapi suka menolong saudara-mara dan rakan-rakan. “Dia tidak pernah ingkar arahan jika diberikan tanggungjawab malah kerap membantu ibunya di dapur.
Sebelum menjadi guru, dia pernah tinggal di Maahad Tahfiz Al-Quran Derga selama beberapa bulan dengan bekerja sebagai warden di situ. “Selain itu, arwah anak saya mengajar akademik kepada pelajar tahfiz di situ serta turut menjadi imam. Al-Quran merupakan teman rapatnya walaupun dia tidak menghafalnya,” katanya. Mansor berkata, semasa arwah anaknya itu menetap di maahad terbabit, pelajar di situ sangat sukakannya sehingga setiap kali tiba musim cuti persekolahan, dia akan pulang melawat pelajar serta sentiasa prihatin dengan pengajian mereka. “Di antara anak didiknya di maahad terbabit ialah bekas Adun Bukit Lada, arwah Ahmad Izzat Shauki,” katanya. – Sinar Harian
0 Response to "Selepas 15 Tahun Dikebumi Jenazah Guru Masih Sempurna "
Post a Comment