krim

Presiden Indonesia Jokowi Mahu Wanita Indonesia Berhenti Jadi Pembantu Rumah di luar Negara


KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia Joko Widodo pada Jumaat menegaskan bahawa pentadbirannya mahu menghentikan kemasukan tenaga kerja republik itu sebagai pembantu rumah di luar negara. “Dalam tempoh yang sesegera mungkin, kita hentikan penghantaran tenaga kerja Indonesia sebagai pembantu rumah. "Kelaziman wanita Indonesia ke luar negara untuk bekerja sebagai pembantu rumah harus secepat-cepatnya dihentikan. KIta perlu ada keyakinan dan harga diri,” ujarnya seperti yang dilaporkan media republik berkenaan. Joko yang senang disapa sebagai Jokowi berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama Musyawarah Nasional II Parti Hanura (Hati Nurani Rakyat) di Solo.

 Dalam majlis itu, Jokowi mengatakan beliau mempunyai pengalaman pahit sewaktu melakukan lawatan rasmi ke Malaysia, Brunei dan Filipina. Pengalaman paling pahit, menurut Jokowi, adalah ketika membuat kunjungan perdana ke Malaysia. Hatinya ‘sakit’ apabila menerima laporan bahawa daripada sejumlah 2.3 juta tenaga kerja Indonesia di seluruh dunia, 1.2 juta darinya adalah tanpa dokumen yang sah. Kebanyakan daripada tenaga kerja Indonesia di Malaysia berkhidmat sebagai pembantu rumah. Sewaktu Jokowi bercakap tentang hasrat menghentikan penghantaran warganya sebagai pembantu rumah di luar negara, beliau disambut tepukan gemuruh namun Jokowi telah mengingatkan hadirin dalam majlis tersebut supaya ‘jangan bertepuk tangan’. Peringatan itu dipercayai diminta Jokowi kerana beliau mahu menunjukkan bahawa isu tersebut sangat serius dan sesuatu perlu dibuat bagi mengelakkan lebih ramai warganya bertaraf pendatang tanpa izin di negara asing.

 “Ini soal martabat bangsa, apatah lagi kalau tenaga kerja kita bermasalah dengan negara jiran,” ujar beliau yang mengakui hatinya terguris ketika menerima laporan tenaga kerja Indonesia yang banyak memasuki Malaysia secara haram. 

 Jokowi telah meminta Menteri Tenaga Kerja Indonesia untuk segera menyelesaikan perkara tersebut termasuk secara berperingkat membawa pulang kesemua warganya yang berstatus pekerja tanpa izin di negara asing. - Astro Awani

0 Response to "Presiden Indonesia Jokowi Mahu Wanita Indonesia Berhenti Jadi Pembantu Rumah di luar Negara"

Post a Comment