krim

Gempar!! Pokok yang sudah ditebang berdiri semula



TELOK DATOK - Tujuh keluarga di Taman Seri Telok Datok yang terlibat dengan insiden angin kuat sehingga menyebabkan kerosakan rumah dan tanaman mereka Jumaat lalu masih dalam keadaan trauma.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu menyebabkan pelbagai kerosakan terhadap premis kerajaan dan rumah penduduk.

Seorang penduduk, As’ad Kasim, 76, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu menyebabkan kerosakan teruk di rumahnya dan tanaman pokok di sekeliling rumah turut tumbang.

“Nasib baik tak ada sesiapa yang cedera dan semua ahli keluarga dalam keadaan selamat.

“Tapi bila kenangkan balik kejadian itu saya risau sangat kalau berlaku lagi sehingga menyebabkan kemusnahan yang lebih teruk,” katanya ketika menerima kunjungan beberapa wakil Umno Bahagian Kuala Langat di rumahnya.

Menceritakan pengalaman dia bersama beberapa jiran membersihkan kawasan rumah selepas kejadian angin kuat itu, dia memaklumkan terdapat kejadian pelik menimpa ke atas tanamannya apabila sepohon pokok yang sudah ditebang tegak semula di atas tanah asal.

"Memang pelik dan saya cukup terkejut, tapi semuanya itu kuasa tuhan.

“Apa yang kita tahu, macam macam boleh berlaku, sebagai hambaNya kita perlu taat dengan perintahNya,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Umno Cawangan Telok Datok, Zawalajam Mashod berkata, dia bersama beberapa wakil jawatankuasa Umno Telok Datok mengadakan ziarah ke rumah mangsa yang terlibat.

Katanya, kesemua permohonan bantuan sudah disalurkan kepada pihak Umno Bahagian Kuala Langat sebelum dipanjangkan kepada Unit Pembangunan Negeri Selangor untuk diambil tindakan.

“Kesemua permohonan sudah dibuat dan diminta mangsa yang terlibat bersabar dan saya gembira apabila ada inisiatif penduduk bersihkan segera kawasan rumah yang rosak.

“Bagaimanapun, saya menganggap kejadian ini dugaan daripada tuhan dan ada hikmah di sebalik kejadian,” katanya. - Sinar Harian

0 Response to "Gempar!! Pokok yang sudah ditebang berdiri semula"

Post a Comment