Kejayaan seorang pelajar mencipta satu aplikasi berasaskan perkhidmatan mesej internet yang menyediakan kemudahan untuk menterjemah bahasa telah menarik perhatian syarikat besar dalam talian iaitu Google. Yusrim Karim, 15, menghantar aplikasi yang diberi nama 'Coker Chat' kepada Google Idea pada akhir tahun lalu selepas lima bulan bertungkus-lumus menghasilkan aplikasi tersebut.
Dia menjelaskan seorang pegawai rasmi Google Idea telah menghubunginya melalui e-mel beberapa minggu lalu dan menggambarkan perisian tersebut sangat menakjubkan malah menawarkan peluang bekerja untuk projek bernilai US$36 juta (RM133.14 juta) atau wang tunai US$50,000 (RM184,910). Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Merpati dari Sandakan itu bertindak untuk memilih wang tunai.
"Saya sangat gembira apabila Google Idea menerima cadangan perisian ini," katanya sambil memberitahu masa diambil berjam-jam untuk menghasilkan aplikasi tersebut selepas waktu sekolah dan ianya membuahkan hasil.
Yusrim turut berkata, aplikasinya itu mampu memudahkan sesiapa sahaja di serata dunia untuk berkomunikasi menggunakan bahasa tersendiri.
Syarikat Google Idea yang berpusat di New York sedia memahami cabaran global dan bertindak untuk menghasilkan jalan penyelesaian menerusi teknologi baharu itu. Tiada sesiapa yang mengetahui mengenai anugerah dan pengiktirafan Google Idea yang diterima oleh Yusrim termasuk keluarganya sendiri sehinggalah dia bertindak untuk memberitahu guru Sainsnya, Azlan Budun pada minggu lepas.
Azlan bertanggungjawab mendidik dan mengajar Yusrim mengenai Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) tahun lepas dan menyatakan aplikasi 'Coker Chat' merupakan ideanya yang ke-14 dihantar ke Google Idea. "Dia mempunyai pelbagai konsep kreatif dan ideanya yang ke-14 membuahkan hasil apabila menerima pengiktirafan Google Idea," katanya. Dia turut berpendapat idea Yusrim tersebut memudahkan dan memberi manfaat kepada pengguna internet masa kini dalam perkhidmatan menterjemah bahasa khususnya semasa menjalankan perniagaan di negara luar.
Tambah lagi, Azlan menggambarkan Yusrim sebagai seorang pelajar yang cemerlang dan mempunyai masa depan cerah dalam bidang akademik dan juga aktiviti ko-kurikulum. Yusrim merupakan anak bongsu daripada tiga beradik hasil perkahwinan bapanya yang bekerja sebagai pegawai Jabatan Perhutanan, Karim Maturis dan ibunya Hamidah Ismail. Bapanya memberitahu, wang tunai yang diterima akan diperuntukkan untuk pengajian Yusrim pada masa akan datang. Abang sulung Yusrim merupakan seorang pelajar matrikulasi di Labuan manakala seorang lagi abangnya baru sahaja tamat persekolahan.
Pengetua SMK Merpati berkata, pihaknya akan memainkan peranan dalam menggalakkan dan membangunkan bakat Yusrim dalam bidang teknologi komputer. "Kami sangat berbesar hati sekiranya Yusrim menyertai Anugerah Inovasi Negara kerana anugerah ini akan menjadi penghormatan kepada negara terutamanya Sabah," katanya.
0 Response to " GOOGLE bayar RM185,000 untuk Aplikasi Ciptaan Pelajar Tingkatan Tiga Dari Sabah"
Post a Comment